"Lima macam penyembuh hati yang mesti diketahui
Bacalah al-Quran dengan penghayatan makna
Kosongkan perut dengan puasa
Lakukan solat di tengah malam gelap gelita
Banyakkan istighfar di waktu sahur
Sering-seringlah berziarah para ulama."
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada lima macam ubat hati, iaitu membaca al-Quran, mengosongkan perut (berpuasa), qiyamullail (tahajjud), tadharru' (istighfar) di waktu sahur, dan banyak berziarah pada para ulama."
Sebahagian ulama menambahkan dari yang lima itu, iaitu makan dan minum yang halal, kerana itulah intipati segalanya. Dari makanan dan minuman, kita mendapat tenaga. Apabila berpuasa, ketika hendak berbuka, perhatikanlah makanan dan minuman kita itu, halal atau tidak, kerana makanan yang haram akan membuat hati semakin keras.
Membaca al-Quran adalah termasuk ubat hati, kerana al-Quran mengandungi cahaya, dan cahaya al-Quran memancarkan rasa takut kepada Allah S.W.T. Hasan Basri berkata: "Jika seorang hamba senantiasa membaca al-Quran setiap ba'da (selepas) subuh, maka ia akan banyak sedihnya, sedikit kebahagiaannya; banyak menangisnya, sedikit tertawanya; banyak kesibukannya, sedikit waktu luangnya.
Selain itu, berpuasa juga merupakan cara mengubati hati, kerana puasa mengandungi banyak hikmah, dapat menenangkan hati, membawa keselamatan dari malapetaka, meringankan badan dalam melakukan ibadat, dan juga menghilangkan penyakit.
Qiyamullail (tahajjud) juga termasuk ubat hati, kerana qiyamullail dapat menghilangkan perdaya syaitan, mencegah perbuatan dosa, menghindarkan penyakit dari badan, mendapat redha Allah S.W.T. dan disenangi orang-orang soleh. Qiyamullail bermaksud melakukan ibadah pada waktu malam - sama ada solat atau selain solat.
Dalam kitab an-Nashaih, Habib al-Hadad berkata, "Ketahuilah bahawa qiyamullail adalah suatu pekerjaan yang sangat berat, apalagi dikerjakan setelah tidur. Tetapi pekerjaan yang berat itu akan menjadi ringan jika sudah menjadi biasa dengan mengerjakannya secara berterusan dan selalu sabar akan kepayahan yang dihadapi pada peringkat awal mengerjakannya. Barang siapa yang sanggup melakukan pekerjaan yang berat itu, Allah S.W.T. akan membukakan pintu baginya, dan ia akan merasakan manis dan nikmatnya munajat ke hadrat Allah S.W.T.
Tadharru' (istighfar) kepada Allah di waktu sahur adalah juga ubat hati, kerana pada waktu itulah segala doa akan dikabulkan Allah S.W.T., sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah s.a.w., "Allah menurunkan rahmat-Nya dari langit pada tiap sepertiga malam, kemudian Dia berseru,'Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan mengabulkannya. Barang siapa yang memohon kepada-Ku, Aku akan memenuhi permohonannya. Dan barang siapa yang memohon ampun, maka Aku akan mengampuni dosa-dosanya.'" Betapa Allah memberikan tawaran janji kepada kita, dan Dia akan menepati janji-Nya di saat kita melakukan ibadah di tengah malam sepi.
Banyak silaturahmi dengan para kaum solihin juga merupakan ubat hati, kerana dengan banyak silaturahmi itulah kita akan dapat meniru dan meneladani ucapan, perbuatan dan akhlak-akhlak terpuji mereka. Dengan mendekati mereka, kita akan dapat mengikuti jejak baiknya, dan kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat kerananya, sebab orang-orang soleh adalah orang-orang yang selalu menegakkan hak-hak Allah dan makhluk-Nya.
WalLahua'lam. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan dan segala puji-pujian bagi Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan.
Sumber: Buku 'Merambah Jalan Sufi Menuju Syurga Ilahi' (Kifayatul Atqiya wa Minhajul Ashfiyaa) karya as-Sayyid Bakri ak-Makki.
Sunday, March 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment