Wednesday, March 24, 2010

Tanda-Tanda Saat Kematian

100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.

60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.

40 hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.

7 hari : Mengidam makanan.

5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.

3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.

2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.

1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh dan asar.

Saat akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di bahagian belakang badan).

Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang akhir sekali, perbanyakkan mengucap and jangan lagi bercakap-cakap.

WalLahu a'lam.

Tuesday, March 23, 2010

Coretan perjalanan

Hari ni kena pergi Melaka, ambil cek bagi bayaran buku KAFA. Majlis mula 9:00 pagi, so sebelum pukul 7:00 aku dah berdezum dari rumah. Memandu awal pagi memang mengasyikkan; menyaksikan pokok-pokok segar di sepanjang jalan, matahari pun tengah merangkak-rangkak nak naik.

Semalam Maz tanya, siapa nak temankan? Aku jawab tak payah. As usual, I’m a lone ranger, so no hal pergi berurusan ke mana-mana sorang-sorang. Aku dah biasa memandu sendirian. Teman setiaku, radio /stereo dan sebiji counter. Radio buat aku terasa ramai. Counter tu pulak nak apa ek? Kiralah apa-apa yang boleh dikira!!! Hehe

Kereta kat highway boleh tahan gak, tapi lepas exit Senawang, jalan tu bapak aku punya! Boleh pilih lane mana yang aku nak lalu. Tengok permukaan jalan, yang mana paling smooth. Tapi, aku pun bukanlah kaki rempit sangat! Tak reti nak bawa kereta laju-laju, walaupun jalan kosong. Aku warganegara yang patuh pada undang-undang dan peraturan. Ceh… poyo! Selalu kena ingat, bila drive, bukan kira berapa laju kita boleh pergi, tapi berapa cepat kita boleh berhenti (kalau berlaku apa-apa).

Pukul 8:00 aku dah sampai tempat tu. Sebelum tu, sempat beli paper dan baca dalam kereta sementara menunggu orang lain sampai.

Biasalah orang kita… pukul 9:00 belum start lagi sebab ramai yang masih belum tiba. Tuan rumah jemput minum dulu, so aku pun merasmikanlah. Sekadar meraikan, aku taklah lapar sangat sebab dah sahur kul 5:00 pagi tadi. Sebiji telur rebus, beberapa keping biskut cream cracker (high calcium low salt) Jacob dan setengah mug Nescafe.

Memang dah jadi kebiasaan aku jugak, bersarapan awal sebelum masuk waktu subuh. Pastu niat puasa. Kalau sampai petang, dapatlah satu hari berpuasa sunat. Kalau ‘terbuka’ waktu tengahari pun, takpa, tak kisah. Nabi pernah cakap, kalau puasa sunat, kita seumpama raja, nak terus berpuasa boleh, nak berbuka pun boleh. Malah ada waktu-waktunya kita sememangnya disuruh berbuka, contohnya untuk meraikan tetamu yang datang. Kita tetap diberi ganjaran puasa sunat tu. Tapi, kalau puasa wajib tak boleh lah…

Sebab aku datang awal, so aku paling awal settle. Masa yang diberi sebenarnya antara 9:00 hingga 12:00 tengahari. Itu sebabnya masing-masing datang ikut masa sendiri. Aku yang tak tahu, ingatkan ada taklimat Pengarah ke apa-apa ke. Selepas terima cek dan check cek tu betul, sign apa-apa yang patut, kul 10:30 aku dah bergerak balik ke ofis.

Masalah negara yang tak boleh dielak bila memandu sorang ni… mengantuk! Buatlah apa-apa aje, menyanyi ke, berjoget ke asalkan boleh hilangkan mengantuk tu. Pukul 12:00 sampai ofis semula. Buat kerja macam biasa. Pagi ni saja, aku dah berjalan lebih 200 km.

Begitulah perjalanan hidup kita ni. Sesungguhnya, perjalanan di dunia ini hanyalah suatu perjalanan pendek sebelum menghadapi perjalanan yang tersangat panjang di sana nanti. Kalau di sini kita berasa penat dan lelah, betapa penat dan lelahnya nanti bila kita dalam perjalanan yang panjang itu. Bekalannya hanyalah taqwa.

WalLahu a’lam.

Monday, March 22, 2010

Jadikan buah lemon itu minuman yang manis!

Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi bertumpuk dan berlipat ganda.

Ketika Rasulullah s.a.w. diusir dari Makkah, baginda memutuskan untuk menetap di Madinah dan kemudian berjaya membangunkannya menjadi sebuah negara yang sangat terkenal dalam sejarah Islam.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi kerananya pula ia kemudian menjadi Imam salah satu mazhab. Ibnu Taymiyyah pernah di penjara, tetapi justru di penjara itulah ia banyak melahirkan karya. As-Sarakhsi pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah ia berjaya mengarang buku sebanyak 20 jilid. Ketika Ibn Atsir dipecat dari jawatannya, ia berhasil menyelesaikan karya besarnya yang berjudul Jami'ul Ushul dan an-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam hadis. Demikian halnya dengan Ibn Jawzi, ia pernah diasingkan dari Baghdad, dan kerana itu ia menguasai qiraah sab'ah. Malik ibn ar-Raib menderita suatu penyakit yang membawa maut, namun ia mampu melahirkan syair-syair yang sangat indah dan tak kalah dengan karya-karya para penyair besar zaman Abbasiyah.

Begitulah, ketika tertimpa suatu musibah, kita harus melihat sisi yang paling terang darinya. Ketika seseorang memberi kita segelas air lemon, kita perlu menambah sesudu gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari orang, ambil saja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Ketika disengat kala jengking, ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberikan kekebalan pada tubuh kita dari bahaya bisa ular. Kita perlu mengendali diri sendiri dalam pelbagai kesulitan yang kita hadapi!

Sebelum terjadi revolusi besar di Perancis, konon negara itu pernah memenjara dua sasterawan terkenalnya. Salah seorang daripadanya sangat optimis, dan yang seorang lagi pesimis bahawa revolusi dan perubahan akan segera terjadi. Setiap hari, kedua-duanya sama-sama melongokkan kepala melalui sela-sela jerigi penjara. Hanya saja, sang sasterawan yang optimistik selalu memandang ke atas dan melihat bintang-bintang yang gemerlap di langit. Kerana itu, ia selalu tersenyum riang. Adapun sasterawan yang pesimistik, ia selalu melihat ke arah bawah dan hanya melihat tanah hitam di depan penjara, dan kemudian menangis sedih.

Begitulah, sebaiknya kita selalu melihat sisi lain dari kesedihan itu. Sebab, belum tentu semuanya menyedihkan, pasti ada kebaikan, harapan, jalan keluar dan pahala.

WalLahu a’lam.

Sumber: Buku 'Jangan Bersedih' (La Tahzan) karya Dr. ‘Aidh al-Qarni, Qisthi Press, Jakarta Timur, Indonesia.

Sunday, March 21, 2010

Lima macam ubat hati

"Lima macam penyembuh hati yang mesti diketahui
Bacalah al-Quran dengan penghayatan makna
Kosongkan perut dengan puasa
Lakukan solat di tengah malam gelap gelita
Banyakkan istighfar di waktu sahur
Sering-seringlah berziarah para ulama."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ada lima macam ubat hati, iaitu membaca al-Quran, mengosongkan perut (berpuasa), qiyamullail (tahajjud), tadharru' (istighfar) di waktu sahur, dan banyak berziarah pada para ulama."

Sebahagian ulama menambahkan dari yang lima itu, iaitu makan dan minum yang halal, kerana itulah intipati segalanya. Dari makanan dan minuman, kita mendapat tenaga. Apabila berpuasa, ketika hendak berbuka, perhatikanlah makanan dan minuman kita itu, halal atau tidak, kerana makanan yang haram akan membuat hati semakin keras.

Membaca al-Quran adalah termasuk ubat hati, kerana al-Quran mengandungi cahaya, dan cahaya al-Quran memancarkan rasa takut kepada Allah S.W.T. Hasan Basri berkata: "Jika seorang hamba senantiasa membaca al-Quran setiap ba'da (selepas) subuh, maka ia akan banyak sedihnya, sedikit kebahagiaannya; banyak menangisnya, sedikit tertawanya; banyak kesibukannya, sedikit waktu luangnya.

Selain itu, berpuasa juga merupakan cara mengubati hati, kerana puasa mengandungi banyak hikmah, dapat menenangkan hati, membawa keselamatan dari malapetaka, meringankan badan dalam melakukan ibadat, dan juga menghilangkan penyakit.

Qiyamullail (tahajjud) juga termasuk ubat hati, kerana qiyamullail dapat menghilangkan perdaya syaitan, mencegah perbuatan dosa, menghindarkan penyakit dari badan, mendapat redha Allah S.W.T. dan disenangi orang-orang soleh. Qiyamullail bermaksud melakukan ibadah pada waktu malam - sama ada solat atau selain solat.

Dalam kitab an-Nashaih, Habib al-Hadad berkata, "Ketahuilah bahawa qiyamullail adalah suatu pekerjaan yang sangat berat, apalagi dikerjakan setelah tidur. Tetapi pekerjaan yang berat itu akan menjadi ringan jika sudah menjadi biasa dengan mengerjakannya secara berterusan dan selalu sabar akan kepayahan yang dihadapi pada peringkat awal mengerjakannya. Barang siapa yang sanggup melakukan pekerjaan yang berat itu, Allah S.W.T. akan membukakan pintu baginya, dan ia akan merasakan manis dan nikmatnya munajat ke hadrat Allah S.W.T.

Tadharru' (istighfar) kepada Allah di waktu sahur adalah juga ubat hati, kerana pada waktu itulah segala doa akan dikabulkan Allah S.W.T., sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah s.a.w., "Allah menurunkan rahmat-Nya dari langit pada tiap sepertiga malam, kemudian Dia berseru,'Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku akan mengabulkannya. Barang siapa yang memohon kepada-Ku, Aku akan memenuhi permohonannya. Dan barang siapa yang memohon ampun, maka Aku akan mengampuni dosa-dosanya.'" Betapa Allah memberikan tawaran janji kepada kita, dan Dia akan menepati janji-Nya di saat kita melakukan ibadah di tengah malam sepi.

Banyak silaturahmi dengan para kaum solihin juga merupakan ubat hati, kerana dengan banyak silaturahmi itulah kita akan dapat meniru dan meneladani ucapan, perbuatan dan akhlak-akhlak terpuji mereka. Dengan mendekati mereka, kita akan dapat mengikuti jejak baiknya, dan kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat kerananya, sebab orang-orang soleh adalah orang-orang yang selalu menegakkan hak-hak Allah dan makhluk-Nya.

WalLahua'lam. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan dan segala puji-pujian bagi Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan.

Sumber: Buku 'Merambah Jalan Sufi Menuju Syurga Ilahi' (Kifayatul Atqiya wa Minhajul Ashfiyaa) karya as-Sayyid Bakri ak-Makki.

Bermulanya di sini ...

Baru nak mula... better late than never! Dah lama bercadang nak ada blog sendiri, tapi selalu bila balik kerja dah tergolek lembik (macam sayur kena jemur), pastu tido ajelah! Cuma baru-baru ni bila terbaca Zahin punya blog, rasa tercabarlah pulak. Hei, anak sedara yang masih sekolah rendah pun dah ada blog, tak boleh jadi ni...